SEKUMPULAN pelancong terkejut besar apabila terpaksa membayar hampir 1 juta rupiah (RM270) bagi hidangan ayam bakar di salah sebuah warung di destinasi tarikan pengunjung, Sita Cileunca, Pangalengan di Jawa Barat, Indonesia.
Menerusi perkongsian di Facebook, seorang lelaki bernama Rudiman berkata, dia bersama teman-temannya singgah makan di sebuah gerai makan dan memesan 11 bahagian ayam bakar dan ayam goreng dengan jumlah keseluruhan berjumlah 440,000 rupiah (Rp) (RM128.89).
Katanya, mereka kemudian memesan tiga pinggan karedok (sejenis salad bersos kacang) berharga 75,000 Rp (RM21.97), 30 keping tauhu dan tempe berharga 60,000 Rp (RM17.58), jering (50,000 Rp) (RM14.65) dan enam ekor ikan masin (90,000 Rp) (RM26.36).
"Kami turut memesan minuman air kelapa sebanyak lima biji berjumlah 125,000 Rp (RM36.62) selain menyewa tiga gulung tikar berharga 75,000 Rp (RM21.97)," katanya seperti dipetik portal Detik.com.
Jumlah keseluruhan bil yang dikeluarkan untuk kesemua pesanan tersebut berjumlah 915,000 Rp (RM268.04) hingga mengejutkan warga maya yang menganggap caj yang dikenakan bagi setiap hidangan tidak masuk akal.
Rata-rata beranggapan harga ayam bakar atau ayam goreng sepatutnya hanya 40,000 Rp (RM11.72) manakala harga kelapa adalah 25,000 Rp (RM7.32) sebiji dan ikan masin pula berharga 15,000 Rp seekor (RM4.39).
TANGKAP layar penjelasan Abahnazeni berhubung harga makanan di gerainya yang didakwa tidak masuk akal. — Facebook
Sementara itu, menjawab kejadian itu, pemilik restoran terbabit, Abahnazeni memberikan penjelasan melalui status yang dimuat naik di Facebook Kumpulan Kuring Overtime Pangalengan.
Beliau berkata, pelancong berkenaan tidak memesan makanan dari gerai makan secara langsung, tetapi melalui orang tengah yang sememangnya menjadikan lokasi tarikan pelancong Situ Cileunca sebagai port mendapatkan komisyen.
"Pelanggan ini membeli makanan daripada 'calo' atau orang tengah yang menyediakan perkhidmatan jualan. Harga untuk makanan itu ialah 25,000 Rp (RM7.32) setiap bahagian.
Harga itu bahkan meliputi menu daging, tauhu, tempe, lalapan, sambal dan keropok. Harga kelapa juga sebenarnya adalah 15,000 Rp (RM7.32) sebiji," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram