PERMINTAAN tinggi minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel menyebabkan ada pemborong dan syarikat pembungkus semula disyaki sanggup menjual minyak masak bersubsidi demi mengaut keuntungan mudah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, harga sekilogram minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel ialah kira-kira RM4.50.
"Harga minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram pula hanya RM2.50. Mereka dipercayai mendapat keuntungan yang banyak dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.
"Taktik baharu itu dikesan hasil siasatan pegawai kementerian yang turun padang susulan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di beberapa negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ketika ini dan siasatan terperinci sedang dilakukan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Ajil yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia di Kuala Berang, Terengganu pada Sabtu.
Beliau berkata, kekurangan bekalan di negeri terbabit juga adalah disebabkan penyelewengan oleh segelintir pemborong atau pembungkus semula yang disyaki menjual minyak masak bersubsidi secara terus kepada pengusaha restoran dan kedai makan.
"Kita masih siasat siapa sebenarnya yang lakukan kesalahan ini sama ada pemborong atau pembungkus semula kerana minyak masak bersubsidi dalam peket adalah untuk kegunaan isi rumah sahaja dan bukan untuk golongan peniaga.
"Perkara ini dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar dan KPDNHEP sedang menjalankan siasatan terperinci. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat," katanya sambil menambah sejak 2020, sebanyak 15 syarikat pemborong dan pembungkus semula minyak masak bersubsidi telah digantung lesennya manakala lesen lima lagi syarikat ditarik balik kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan.
Rosol berkata, ketirisan bekalan stok minyak masak bersubsidi dalam peket juga berlaku kerana tindakan pemborong atau pembungkus semula memindahkannya ke dalam botol untuk dijual pada harga lebih mahal yang berjaya dibongkar melalui operasi selama ini.
"KPDNHEP memandang serius perkara ini dan ia sangat menyedihkan kerana menjejaskan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan.
"Sepanjang siasatan dijalankan, pemborong atau pembungkus semula yang terlibat akan digantung sementara lesen mereka dan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi akan diambil alih oleh syarikat lain bagi memastikan bekalan adalah stabil di pasaran," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram