MAJORITI guru di Perancis bertindak tidak datang bekerja sebagai tanda mogok atas kegagalan kerajaan untuk menerima pakai dasar bagi sekolah untuk menguruskan wabak Covid-19 dan melindungi murid serta kakitangan dengan betul daripada jangkitan.
Guru, ibu bapa dan pentadbir sekolah menyatakan kegusaran mereka terhadap keperluan ujian baharu yang diumumkan baru-baru ini. Peraturan itu juga sudah dua kali berubah sejak itu.
“Kami mencapai tahap kegusaran, keletihan dan kemarahan sehingga kami tidak mempunyai pilihan lain selain menganjurkan mogok untuk menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan,” kata Elisabeth Allain-Moreno, setiausaha kebangsaan Kesatuan guru UNSA.
Menurutnya lagi, mereka menjangkakan banyak sekolah akan ditutup pada Khamis dan sejumlah besar guru termasuk kira-kira 75 peratus dari sekolah rendah menyertai mogok sehari itu.
Kesatuan yang mewakili pengarah sekolah, inspektor dan kakitangan lain turut menyertai mogok itu.
Terdahulu, kerajaan merubah dasar awal menutup kelas yang mempunyai kes positif Covid-19 dengan mengarahkan supaya kelas dibuka sebanyak mungkin.
“Saya tahu ia sukar, tetapi mogok tidak menyelesaikan masalah,” kata Menteri Pendidikan, Jean-Michel.
Jangkitan Covid-19 direkodkan meningkat di sekolah memandangkan Perancis mencatatkan jumlah jangkitan dengan hampir 370,000 kes harian baharu.
Kes positif boleh mengakibatkan berpuluh-puluh murid dan kakitangan dihantar ke makmal dan farmasi untuk ujian.
"Kepenatan dan kegusaran seluruh komuniti pendidikan mencapai tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata 11 kesatuan sekerja dalam satu kenyataan bersama.
“Tanggungjawab menteri dan kerajaan dalam keadaan huru-hara ini adalah menyeluruh kerana perubahan yang tiada kesudahan, protokol yang tidak dapat dilaksanakan dan kekurangan alat yang sesuai untuk menjamin (sekolah) dapat beroperasi dengan baik," ujar mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram