SEORANG anggota tentera berpangkat mejar yang berkhidmat dengan Tentera Negara Indonesia (TNI) dan dipercayai memukul pemandu teksi motosikal (ojek) di Pamulang, Tangerang Selatan, ditahan oleh pihak berkuasa.
Penahanan itu dilakukan oleh Pusat Polisi Militari Angkatan Laut (Pomal) TNI bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Ya, dia ditahan untuk siasatan lanjut. Punca kejadian juga masih dalam siasatan,” kata Panglima TNI Angkatan Laut, Laksamana Pertama Julius Widjojono seperti dipetik portal Detik.com pada Isnin.
Julius mendedahkan bahawa suspek ialah seorang pegawai Tentera Laut Indonesia yang berkhidmat di Markas Tentera Laut.
Pada masa sama, beliau menekankan arahan Laksamana TNI Yudo Margono agar tentera TNI Angkatan Laut tidak menggunakan kekerasan terhadap rakyat.
"Selain itu, ditegaskan bahawa tiada individu dalam TNI akan terlepas daripada undang-undang jika didapati bersalah," katanya.
Sebelum itu, Balai Polis Pamulang, Tangerang Selatan, diserbu puluhan pemandu teksi motosikal dalam talian dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, pada Ahad (9 Januari).
Ketua Polisnya, Kompol Suwarjo berkata, kejadian itu dicetuskan oleh tindakan seorang pegawai Tentera Laut Indonesia yang didakwa memukul salah seorang pemandu teksi motosikal.
Sujarwo bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih terperinci tentang kekecohan itu. Bagaimanapun, katanya pergaduhan antara pemandu teksi motosikal dan pegawai TNI itu hanyalah salah faham. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram