FUNGSI robot pintar untuk mengagihkan botol air zamzam kepada jemaah dan pengunjung di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah Arab Saudi diaktifkan semula oleh Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal dua masjid suci berkenaan.
Ia susulan arahan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua lokasi bermula akhir bulan lepas.
Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Pengairan Zamzam Masjidil Haram, Badr Al-Laqmani, teknologi robot pintar ini boleh bekerja sehingga lapan jam tanpa campur tangan manusia.
"Robot ini juga mampu mengedarkan 30 botol air zamzam dalam tempoh 10 minit.
"Ia berhenti hanya 20 saat untuk mengisi botol”, katanya menerusi satu kenyataan di portal rasmi jabatan berkenaan.
Tambahnya, pada masa ini usaha sedang giat dijalankan untuk membolehkan robot dapat beroperasi secara meluas di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Jelasnya lagi, ia termasuk mengendalikan beg dan silinder mudah alih.
"Kami berusaha untuk menyediakan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi untuk pengunjung Masjidil Haram.
"Sebagai langkah berjaga-jaga dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI), pihak kami sedang dalam perancangan untuk membangunkan ‘sensor’ tanpa sentuh pada tangki marmar yang mengalirkan air zamzam di seluruh Masjidil Haram," ujarnya.
Arab Saudi buat pertama kali merekodkan jangkitan harian Covid-19 melebihi 4,000 kes pada Isnin apabila mencatatkan 4,778 kes baharu.
Menurut perkongsian infografik Kementerian Kesihatan Saudi di laman Twitter, dua mangsa dilaporkan maut akibat virus berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Ia sekali gus meningkatkan jumlah kumulatif kematian kepada 8,895 kes, di negara yang mencatatkan 583,531 kes jangkitan sehingga Selasa.
Sementara itu, seramai 154 pesakit Covid-19 pula direkodkan berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram