Maut patah leher akibat elak bayar tambang kereta api


  • Benua
  • Selasa, 04 Jan 2022

VIDEO CCTV menunjukkan Christopher cuba melompat ke atas lawang putar di stesen kereta api bawah tanah di Queens, Amerika Syarikat. — Agensi

SEORANG lelaki maut akibat patah leher selepas gagal melompat pada lawang putar (turnstile) stesen kereta api bawah tanah di Queens, Amerika Syarikat.

Christopher De La Cruz, 28, disahkan meninggal dunia dalam kejadian di stesen kereta api Forest Hills-71st Avenue di Queens pada kira-kira pukul 6.45 pagi Ahad.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Christopher cuba melompat ke atas lawang putar di stesen kereta api bawah tanah itu kerana mahu mengelak daripada membayar tambang.

Percubaan pertamanya gagal dan kemudian dia kelihatan sengaja menjatuhkan telefon bimbitnya.

Christopher yang memakai beg galas tersadung ke belakang sebelum dia cuba melompat ke atas lawang putar yang lain berulang kali.

Pada percubaan terakhir, Christopher dilihat hilang keseimbangan dan kepalanya terhempas di lantai simen.

Rakaman itu menunjukkan De La Cruz terbaring dan tidak bergerak sejurus selepas itu.

Polis memaklumkan bahawa mangsa patah leher.

Christopher disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram