Kanak-kanak maut terkena renjatan elektrik di taman tema air


  • Benua
  • Sabtu, 01 Jan 2022

MANGSA, Siti Lisrismaya Sabrini, meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di Taman Tema Air Sampit. — Agensi

WARGA Sampit, Kabupaten Kotawaringin Timur, Indonesia dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika bercuti sempena tahun baharu di Taman Tema Air Sampit.

Keluarga mangsa memilih untuk bercuti di taman tema air itu yang merupakan lokasi tarikan pelancong di Metropolitan Wengga, Daerah Baamang sempena cuti awal tahun baharu.

Namun, percutian bertukar tragedi apabila mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik.

Mangsa, Siti Lisrismaya Sabrini, 6, merupakan anak sulung kepada Usman penduduk Jl, Muara Teweh, Daerah Baamang.

"Terus terang kami amat berduka atas kejadian ini. Niat kami sekeluarga ingin bergembira ketika cuti tahun baharu, namun sebaliknya kami bersedih atas kematian ini," kata bapa saudara mangsa, Munadin.

Menurut Munadin, kejadian berlaku apabila mangsa yang baru selesai bermain dalam kolam pergi ke ibu bapanya yang ketika itu sedang duduk di gazebo di tepi kolam.

Kebetulan di sebelah gazebo itu terdapat tiang lampu.

Mangsa yang badannya basah tiba-tiba terpegang pada dawai di tiang lampu yang ternyata mempunyai arus elektrik.

“Sebaik anak saudara saya menyentuh dawai itu, badannya terus menggeletar seperti orang terkena renjatan elektrik dan kemudiannya dia terjatuh,” jelas Munadin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram