SEORANG pencuri maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya terbabas ketika melarikan diri setelah mencuri telefon bimbit di Jalan Palem Raya, Pondok Aren, Tangerang Selatan, Indonesia pada petang Sabtu.
Dalam kejadian tersebut, suspek yang dikenali sebagai Adi, maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada.
Sebelum kejadian, Adi dan rakannya Heru Suseno bersiar-siar menaiki motosikal di sekitar jalan Jombang Raya, Pondok Aren.
Mereka kemudian berhenti di sebuah kawasan projek pembinaan perumahan sebelum menceroboh masuk ke dalam kawasan itu.
Melihat beberapa telefon bimbit pekerja pembinaan diletak tanpa sebarang pengawasan, Adi dengan pantas mencuri telefon bimbit itu dan segera berlari ke arah Heru yang sedang menunggang motosikal sambil mengawal persekitaran.
Bagaimanapun, perbuatan itu disedari pekerja yang segera mengejar mereka.
Panik dikejar, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan memecut motosikal.
Motosikal yang ditunggang mereka akhirnya hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh dinding rumah seorang penduduk.
Adi terpelanting di atas permukaan jalan raya dan maut di tempat kejadian.
Sementara rakannya, Heru yang luka di dahi dan di lengan kemudiannya ditahan oleh penduduk setempat.. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram