Isteri buta tak sedar suami mati ditembak


  • Benua
  • Sabtu, 01 Jan 2022

WILLIAM Robert Lang Jr, 76, ditemui mati di atas katilnya selepas dilaporkan hilang oleh isterinya yang buta. — Agensi

WILLIAM Robert Lang Jr, 76, ditemui mati ditembak di atas katil dan mayatnya hanya ditemui selepas isterinya yang buta menghubungi polis pada keesokan hari.

Polis pergi ke rumah pasangan itu di Levee Road di Louisiana, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu sekitar jam 6 petang berhubung laporan orang hilang.

Isteri William yang cacat penglihatan memberitahu polis bahawa dia tidak bercakap dengan suaminya sejak petang hari sebelumnya dan berasakan ia sesuatu yang pelik, jelas kenyataan syerif.

Siasatan polis mendapati tiada kereta hilang, namun tingkap rumah mangsa didapati pecah.

Pencarian di dalam rumah pasangan itu membawa kepada penemuan mayat William dengan kesan beberapa das tembakan.

Tiada penjelasan diberikan oleh pihak berkuasa tentang sebab si isteri tidak mendengar bunyi tembakan atau gagal menemui mayat tersebut.

Polis melancarkan siasatan pembunuhan berdasarkan laporan bedah siasat dan cuba mendapatkan maklumat daripada orang ramai namun belum ada suspek ditahan.

"Penyiasat kami bekerja tanpa jemu dalam usaha untuk menangkap individu yang terlibat dalam pembunuhan William dan kami menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga William," kata Syerif Stuart Wright. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram