Harimau Malaya mati ditembak akibat gigit petugas zoo


  • Benua
  • Sabtu, 01 Jan 2022

EKO, harimau Malaya di Zoo Naples, Florida, Amerika Syarikat mati ditembak. — Agensi

SEEKOR harimau Malaya mati ditembak di Zoo Naples, Florida, Amerika Syarikat selepas menggigit lengan seorang petugas kebersihan yang meletakkan lengannya di pagar kandang haiwan tersebut.

Petugas kebersihan dari syarikat luar yang diupah oleh pihak zoo itu dikatakan sama ada memberi makan atau membelai harimau jantan berusia lapan tahun bernama Eko itu.

"Cubaan untuk membelai atau memberi haiwan itu makanan adalah tidak dibenarkan dan berbahaya," kata Pejabat Sheriff Collier County dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Laporan awal menunjukkan bahawa harimau itu menggigit lengan petugas kebersihan dan menariknya ke dalam kandang setelah lelaki itu melintasi penghadang pagar dan memasukkan tangannya melalui pagar kandang.

Pegawai pertama yang tiba di tempat kejadian cuba memujuk Eko melepaskan lengan lelaki terbabit namun ia enggan dan menyebabkan dia terpaksa menembak haiwan itu.

Harimau itu difahamkan berundur ke belakang selepas ditembak dan disahkan mati.

Media Amerika Syarikat kemudian melaporkan Eko dibunuh pegawai zoo.

Kenyataan di laman web zoo pada Khamis berkata Zoo Naples ditutup untuk siasatan.

"Pihak zoo menyediakan kaunselor bagi merawat kesedihan petugas-petugas zoo dan tukang cuci berusia dalam lingkungan 20-an yang cedera parah telah dibawa ke hospital," kata kenyataan syerif.

Siaran berita itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menggesa zoo ditutup dan kritikan terhadap petugas kebersihan itu atas tindakannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram