Disangka ahli sihir, nenek 70 tahun mati ditikam


  • Benua
  • Selasa, 21 Dis 2021

MANGSA yang ditikam berkali-kali dengan pisau disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital. — Gambar hiasan/Agensi

PEMBUNUHAN membabitkan seorang warga emas berusia 70 tahun berlaku di kampung Chuharwal, Punjab, India pada Ahad (19 Disember lalu).

Pelaku, Jaspal Singh yang berusia 25 tahun nekad menikam seorang nenek sehingga mati kerana mendakwa warga emas itu mempraktikkan amalan sihir.

Suspek dikatakan telah menikam mangsa berkali-kali.

Menurut saksi yang merupakan anak lelaki mangsa, Gurmail Singh, ketika kejadian berlaku, dia dan ibunya hendak bersembahyang di sebuah gurdwara iaitu tempat ibadat penganut Sikh.

Sekitar pukul 6.30 pagi, ketika mangsa hendak bersembahyang, pelaku menyerang mereka.

Menurut Gurmail Singh, pelaku terus-menerus memaki ibunya dan menuduhnya sebagai ahli sihir.

“Ketika ibu cuba berhadapan dengannya, pelaku mengeluarkan sebilah pisau dan terus menikamnya berkali-kali,” kata Gurmail Singh kepada Hindustan Times.

Suspek melarikan diri selepas menikam mangsa. Gurmail Singh kemudian segera membawa ibunya ke hospital.

Bagaimanapun, setibanya di hospital, ibunya telah disahkan meninggal dunia.

Suspek kemudian ditangkap polis bersama barang bukti berupa sebilah pisau.

Menurut Asisten Komisioner Polis Davinder Chaudhary, suspek telah didakwa atas tuduhan membunuh.

Polis kemudiannya menahan ibu suspek atas tuduhan terlibat dalam merancang pembunuhan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

benua, bunuh, ahli sihir, nenek, India