Beruang matahari mati dilanggar di Ulu Bendul


  • 112
  • Rabu, 29 Dis 2021

BANGKAI beruang dewasa seberat kira-kira 85 kilogram itu ditemukan pegawai Perhilitan Daerah Jempol pada malam Selasa. — Gambar ihsan PDRM

SEEKOR beruang matahari jantan yang sesat daripada kawasan habitatnya ditemukan mati di dalam longkang di Jalan Ulu Bendul, Bukit Putus arah Seremban, Negeri Sembilan, dipercayai selepas dilanggar sebuah kenderaan, malam Selasa.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, bangkai beruang dewasa seberat kira-kira 85 kilogram itu ditemukan pegawai Perhilitan Daerah Jempol pada 9.10 malam.

"Beruang tersebut didapati mengalami kecederaan parah di badan dan muka ekoran pelanggaran itu.

"Haiwan itu dipercayai tersasar daripada habitatnya dan kawasan sekitar ia ditemukan mati itu menjadi kawasan rayau bagi hidupan liar kerana berdekatan Hutan Simpan Angsi dan Hutan Simpan Berembun," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan berdekatan hutan selain segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa hidupan liar yang sesat daripada kawasan habitatnya.

Nurul Ermi berkata, pada tahun ini, pihaknya telah menyelamatkan seekor beruang yang keluar daripada kawasan hutan dan dihantar ke kawasan perlindungan Perhilitan.

Dalam pada itu, komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti Mohd Syazwan Saidy berkata, lima anggota bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 8.45 malam selepas dimaklumkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah kenderaaan jenis volkswagen yang cuba mengelak seekor beruang.

"Bagaimanapun kedua-dua pemandu dan penumpang lelaki masing-masing berusia 41 dan 43 tahun itu tidak mengalami kecederaan dan kenderaan mereka hanya pecah dan kemek di bahagian enjin hadapan," katanya.

Menurutnya, menerusi maklumat orang awam terdapat tiga ekor beruang berkeliaran sewaktu kejadian namun hanya seekor daripadanya dijumpai mati akibat dilanggar di lokasi terbabit. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram