Akur wasiat, lelaki awet mayat ibu dengan ais


  • Benua
  • Selasa, 28 Dis 2021

PIHAK polis datang ke kediaman lelaki yang mengawetkan jenazah ibunya menggunakan ais. — Agensi

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa adalah perumpamaan yang sesuai digambarkan terhadap seorang lelaki, apabila sanggup tinggal bersama mayat ibunya selama 45 hari.

Berlaku di Kabupaten, dekat Buleleng, Bali, Indonesia, Putu Sugiarta, 53, sanggup mengawetkan mayat ibunya menggunakan ais.

Jurucakap polis berkata, ibu kepada Putu, Wayan Terpi meninggal dunia di rumah mereka pada 3 November lalu kira-kira jam 3 petang pada usia 96 tahun.

Sebelum meninggal dunia, arwah berpesan kepada anaknya untuk tidak mengkebumikannya selama empat bulan, di samping tidak membabitkan ahli keluarga lain.

Disebabkan wasiat itu, Putu Sugiarta tidak mengebumikan ibunya sebelum jenazah diawet menggunakan ais di rumah mereka.

“Arwah ibunya pernah berpesan kepada anak yang tinggal serumah dengannya supaya tidak mengebumikannya.

“Ini kerana arwah teringin bersama anaknya terlebih dahulu,” kata jurucakap itu.

Bagaimanapun, ahli keluarga lain mahu agar jenazah ibunya segera dikebumikan.

Mereka menyuarakan hasrat itu kepada Putu namun ditolak mentah-mentah.

Lantaran itu, mereka melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis pada Khamis lalu.

Pihak polis kemudiannya datang ke rumah Putu untuk membuat siasatan.

Setibanya di sana, polis menasihati Putu untuk segera mengebumikan ibunya dan dia terpaksa akur.

Jenazah Wayan Terpi akhirnya dikebumikan pada 26 Disember lalu.

Jurucakap polis berkata, meskipun sudah 45 hari jenazah tidak dikebumikan, namun ia tidak mengeluarkan bau yang begitu menyengat.

“Jenazah sememangnya sudah mulai membusuk.

“Tapi disebabkan sudah diawet dengan ais, maka baunya tidak terlalu busuk,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jenazah, awet, ais, Indonesia, wasiat, bali