SEORANG lelaki berusia 42 tahun dijel tiga minggu atas kesalahan menampar muka bapanya yang lanjut usia berkali-kali, meskipun sudah dikenakan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) yang melarang dia menggunakan kekerasan ke atas warga emas itu.
Tertuduh bahkan dikatakan menggunakan tuala untuk memukul bapanya sehingga meninggalkan kesan lebam pada mangsa.
Mohammed Ariffin Tajuddin, dijatuhi hukuman penjara tiga minggu atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja pada mangsa yang lemah.
Tuduhan kedua kerana melanggar PPO yang dikeluarkan Mahkamah Keadilan Keluarga Singapura, turut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Ariffin tinggal bersama bapanya yang berusia 75 tahun di sebuah flat di Bukit Panjang. Pada 10 November lalu, Ariffin sedang duduk di bilik tidur utama bersama bapanya, apabila dia tiba-tiba marah kerana warga emas itu menggunakan tandas di bilik tersebut.
"Tertuduh (Ariffin) dikatakan menampar muka bapanya berkali-kali sebelum menggunakan tuala untuk memukul muka mangsa. Bapanya merasa sakit di bahagian hidung dan mata," lapor portal The Independent.
Lima hari kemudian, adik perempuan Ariffin datang untuk melawat mangsa dan melihat kesan lebam pada muka bapanya sebelum bersemuka dengan tertuduh yang mengaku memukul bapa mereka. Adik perempuan tertuduh kemudian membuat laporan polis pada hari sama.
Memandangkan mangsa adalah warga tua yang lemah yang tidak dapat melindungi diri daripada didera, tertuduh boleh dikenakan hukuman lebih berat sehingga dua kali ganda hukuman asal. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram