POLIS Indonesia berjaya memberkas pemandu e-hailing yang didakwa melakukan kekerasan terhadap penumpangnya, seorang wanita hanya kerana mangsa tidak sengaja termuntah di dalam kenderaannya, dalam kejadian di Tambora, Jakarta pada Jumaat (23 Disember lalu).
Suspek, Godelfridus Janter didakwa telah menampar dan menendang penumpang terbabit selepas mangsa enggan membayar wang tambahan sebanyak 300,000 rupiah (RM88) yang diminta.
Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya Kombes Endra Zulpan berkata, kejadian bermula apabila mangsa dan kakaknya baru pulang daripada menghadiri majlis anjuran rakan sekerja mereka di Jakarta Utara.
Katanya, ketika mahu pulang, kedua-duanya menempah kenderaan e-hailing secara dalam talian sebelum pesanan itu diambil oleh suspek.
"Semasa dalam perjalanan pulang, mangsa berasa loya dan kemudian memberitahu pemandu itu untuk berhenti sebentar kerana dia rasa mahu muntah.
"Belum sempat berhenti, mangsa yang tidak dapat menahan rasa loya membuka cermin kereta dan muntah. Muntah itu mengenai badan kereta yang dipandu suspek," katanya pada Selasa seperti dilaporkan IDN Times.
Zulfan berkata, sebaik di rumah, suspek meminta bayaran tambahan sebanyak 300,000 rupiah dengan alasan untuk kos pembersihan kenderaan.
Katanya, mangsa bagaimanapun hanya bersetuju untuk membayar 50,000 rupiah (RM14.70) sekali gus mencetuskan kekecohan antara kedua-dua belah pihak.
“Suspek kemudian marah lalu menampar dan menyepak mangsa,” kata Zulpan.
Tambahnya, dengan tangkapan terhadap suspek, siasatan akan dibuat mengikut Pasal 351 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun penjara jika sabit kesalahan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram