Tak jadi bunuh diri lepas dipujuk bekas kekasih


  • Benua
  • Jumaat, 17 Dis 2021

LELAKI itu berkeras tidak mahu turun dari menara setinggi 60 meter itu. — Gambar Hiasan/Agensi

SEORANG lelaki nekad memanjat menara telekomunikasi setinggi 60 meter dan cuba mengakhiri nyawanya dengan cara bunuh diri.

Proses menyelamat menjadi dramatik setelah mangsa dilihat lemah selepas beberapa jam bertahan di atas menara.

Pegawai Polis Daerah Probolinggo terus-menerus berusaha memujuk lelaki yang terdesak memanjat menara telekomunikasi itu di Kampung Jrebeng Lor, Daerah Kedopok, Kota Probolinggo, Jawa Timur, petang Khamis.

Walaupun dipujuk, lelaki berkenaan tetap berkeras tidak mahu turun.

Polis turut meminta ibu lelaki itu untuk memujuknya turun dari menara itu dan menceritakan masalahnya. Namun, usaha ini tidak membuahkan hasil.

Tidak lama kemudian, anggota polis membawa kekasih lelaki itu memujuknya turun dan strategi itu berjaya.

Bagaimanapun, keadaan badannya yang lemah menyebabkan dirinya tidak dapat meneruskan usaha untuk turun dan terperangkap di celah tiang besi menara.

Pihak polis bersama Badan Nasional Pengurusan Bencana (BPBD) Kota Probolinggo dan pegawai penyelenggaraan menara telekomunikasi akhirnya mengambil keputusan untuk memanjat menara berkenaan bagi menyelamatkan mangsa.

Petugas mengalami kesukaran untuk menyelamat lelaki itu kerana keadaannya yang sangat lemah dan mereka terpaksa mengusung turun mangsa.

Menurut pegawai dan penduduk, lelaki itu disyaki tertekan selepas hubungan cinta dengan teman wanitanya gagal.

Selepas dibawa turun, mangsa dibawa ke bilik kecemasan Hospital Doktor Mohamad Saleh untuk menerima rawatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

benua, bunuh diri, menara telekomunikasi