Bukan kena aniaya, rupanya nak bunuh diri


  • 112
  • Selasa, 19 Okt 2021

LELAKI itu ditemui dalam keadaan lesu dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuhnya. — Bomba Perak

SEORANG lelaki berusia 40-an membatalkan hasratnya untuk membunuh diri akibat tidak tahan sejuk selepas mengikat dirinya sendiri pada sebatang pokok di Bukit Headwood, Sungai Siput.

Lelaki itu, yang dipercayai telah terikat lebih 10 jam ketika ditemui, bertindak demikian disebabkan tekanan perasaan yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian itu disedari penduduk yang terdengar jeritan meminta pertolongan sebelum menghubungi polis pada jam 7.45 pagi.

"Setibanya di lokasi terdapat lelaki dalam keadaan kaki diikat dengan tali manakala tangan terikat dengan rantai yang dipercayai dilakukannya sendiri.

"Dia juga sempat mencampak anak kunci dalam kejadian itu. Dia disyaki melakukan perbuatan itu sejak jam 9 malam pada Isnin sebelum ditemui. Khidmat bomba dipanggil bagi membantu membuka rantai terbabit," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Mohd Khaizam, dia ditemui dalam keadaan lesu dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuhnya.

Katanya, lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan dan siasatan masih diteruskan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertindak menurunkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang kakinya terikat pada pokok di Bukit Heawood, Perak pada pagi Selasa.

Difahamkan, pihak polis dan bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan tentang keadaan lelaki tersebut.

Menurut maklumat dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, pihak berkuasa menerima laporan sekitar pukul 9.43 pagi Selasa, lalu bergegas ke sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Heawood untuk menyelamatkan mangsa.

Operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 11.12 pagi.

Selepas mangsa diselamatkan, lelaki itu diserahkan kepada polis.