Scammer Nintendo gagal hadir mahkamah kerana mahu sambut hari jadi


  • Benua
  • Jumaat, 17 Dis 2021

TERTUDUH memperdaya 129 mangsa melalui jualan permainan Nintendo Switch yang tidak wujud melalui platform Carousell sekitar Mac 2020. — Gambar hiasan

SELEPAS didakwa atas kesalahan dadah dan menipu lebih 100 orang menerusi transaksi dalam talian yang tidak wujud, seorang remaja dari Singapura, Sim Wei Quan tidak hadir ke perbicaraan kesnya di mahkamah atas alasan mahu menyambut ulang tahunnya yang ke-21.

Menurut laporan Todayonline.sg, tertuduh pada Rabu dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah dan satu minggu serta menjalani perintah reman sejak hujung Mac lalu.

Tertuduh sebelum itu didakwa berjaya memperdaya 129 mangsa melalui jualan permainan Nintendo Switch yang tidak wujud melalui platform Carousell sekitar Mac 2020.

Dia juga berkomplot dengan seorang rakan, Neo Shi Xiang, 30, untuk menyediakan satu akaun bank bagi menerima bayaran daripada pembeli.

Sebagai ganjaran, Wei Quan bersetuju memberi 20 peratus daripada hasil wang haram itu.

Antara Mac hingga April tahun lalu, Wei Quan menipu 129 mangsa sebanyak S$36,885 (RM113,839.75) sebelum diberkas selepas mangsa-mangsa berkenaan membuat aduan polis.

Wei Quan didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah namun, dia ditangkap semula beberapa bulan kemudian selepas didapati terlibat dalam kegiatan dadah.

Pada 8 Februari 2021, apabila Wei Quan sepatutnya membuat pengakuan bersalah, dia gagal menghadirkan diri dan sebaliknya menginap di sebuah hotel untuk menyambut ulang tahunnya.

Bagi mendapatkan wang untuk membayar penginapan di hotel itu, Wei Quan memuat naik senarai iPhone 12 Pro Max di akaun-akaun Carousell serta Facebooknya sebelum menjerat seorang pembeli tertipu selepas memindahkan S$1,000 (RM3,086) kepadanya.

Dia langsung tidak berurusan lanjut dengan pembeli berkenaan berhubung pembelian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram