SEORANG remaja dikenakan tempoh percubaan selama sembilan bulan akibat menipu kononnya bakal mati selepas dijangkiti varian baharu Covid-19.
Tempoh percubaan merujuk kepada pesalah tidak akan dipenjarakan namun perlu mematuhi syarat tertentu ditetapkan mahkamah dan diletakkan di bawah pengawasan pihak berkuasa.
Menurut portal Berita MediaCorp, tertuduh, Siew Hanlong juga perlu melakukan kerja kemasyarakatan selama 40 jam.
Ibu bapanya juga perlu mengemukakan ikat jamin $5,000 Dolar Singapura (RM15,462.38) bagi memastikan remaja itu berkelakuan baik sepanjang tempoh hukuman berkenaan.
Terdahulu, pada dua bulan lalu, Siew mengaku bersalah atas dua tuduhan iaitu menyampaikan maklumat palsu di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Lain (Ketenteraman dan Gangguan Awam).
Pada 23 Mei lalu, Siew memuat naik gambar ujian positif PCR yang diperolehinya ke Instagram Stories, kira-kira jam 1 pagi.
"Kawan-kawan, saya dijangkiti varian baharu Covid-19, selamat tinggal saya akan mati," katanya menerusi keterangan gambar itu seperti dilaporkan MediaCorp.
Malah, Siew juga memuat naik satu lagi gambar menunjukkan dirinya di atas katil hospital dengan memberitahu dia berada di unit rawatan rapi (ICU) dan mengucapkan selamat tinggal.
Gambar digunakan adalah gambar ketika dia dimasukkan ke hospital, tetapi insiden tersebut tiada kaitan dengan virus Covid-19. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram