Sejuta vaksin Covid-19 tamat tempoh bakal dihapus


  • Benua
  • Selasa, 14 Dis 2021

SEORANG doktor (kiri) menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Abuja, Nigeria. — Agensi

NIGERIA akan memusnahkan kira-kira satu juta vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh, kata Agensi Pembangunan Kesihatan Utama Kebangsaan (NPHCDA).

Ketuanya, Faisal Shuaib berkata, agensi itu juga akan bekerjasama dengan pengawal selia Agensi Kebangsaan Pentadbiran dan Kawalan Makanan serta Ubat-ubatan (NAFDAC), bagi menetapkan tarikh pemusnahan vaksin itu.

Shuaib berkata, Nigeria telah menerima vaksin yang mempunyai jangka hayat pendek daripada negara penderma.

Katanya, ia adalah usaha untuk menggunakan vaksin itu dengan lebih cepat selain memberi perlindungan kepada warga negara itu, yang kekurangan vaksin pada masa lalu.

Tambahnya, Nigeria tidak akan lagi menerima vaksin dengan jangka hayat singkat.

Menteri Kesihatan Nigeria, Osagie Ehanire pada minggu lalu berkata, vaksin Covid-19 yang disumbangkan oleh negara Barat hanya mempunyai jangka hayat beberapa minggu, sekali gus menambah cabaran kepada negara itu dalam memberi vaksin kepada rakyatnya.

Minggu lalu, media antarabangsa melaporkan bahawa, kira-kira satu juta vaksin Covid-19 dianggarkan telah tamat tempoh di Nigeria bulan lalu tanpa digunakan.

Namun, Pengarah Vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Kate O’Brien pada Khamis berkata, jumlah dos yang terbuang itu adalah kecil di negara yang menerima vaksin melalui program COVAX berbanding di negara yang berpendapatan tinggi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nigeria, vaksin Covid-19, COVAC, tarikh luput