Lelaki dibayar terima 10 dos vaksin bagi pihak orang lain


  • Benua
  • Isnin, 13 Dis 2021

GOLONGAN pakar memberitahu bahawa setakat ini belum ada bukti tentang kesan sampingan pengambilan vaksin melebihi dos disyorkan. — Agensi

SEORANG lelaki disyaki mendapat 10 dos vaksin Covid-19 dalam sehari yang didakwa diterimanya bagi pihak orang lain.

Perkara itu didedahkan oleh Kementerian Kesihatan New Zealand yang mendakwa bahawa lelaki berkenaan dibayar untuk berbuat demikian.

Menurut Pengurus program vaksin Kementerian Kesihatan New Zealand, Astrid Koornneef, perkara itu berlaku kerana terdapat segelintir penduduk yang tidak mahu divaksin tetapi mahu menikmati keistimewaan buat penerima vaksin.

"Pihak kami memandang serius akan isu ini dan kita sedang bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang untuk siasatan lanjut.

"Jika anda mengetahui seseorang yang mempunyai lebih banyak dos vaksin daripada yang disyorkan, maklumkan kepada kami dan syorkan mereka supaya mendapatkan nasihat klinikal secepat mungkin," katanya.

Tambahnya lagi, pihak kementerian tidak akan mendedahkan di mana kejadian itu berlaku atau siapa yang terlibat.

Sementara itu, pakar vaksin, Pror Helen Petousis-Harris menggelar perbuatan itu sebagai 'sangat mementingkan diri sendiri.'

Katanya, golongan yang enggan mengambil vaksin tersebut mengambil kesempatan ke atas seseorang yang memerlukan wang.

"Orang yang tidak diberi vaksin sangat berpotensi menyebarkan virus dan boleh menyebabkan kemudaratan yang serius, katanya.

"Individu yang menerima beberapa dos vaksin mungkin akan berasa agak tidak sihat pada hari berikutnya akibat tindak balas imun," ujarnya.

Jelasnya lagi, bagaimanapun terdapat sedikit data tentang kesan menerima banyak dos vaksin dalam satu hari.

Profesor Universiti Auckland yang juga merupakan Pengarah Perubatan Pusat Penasihat Imunisasi, Nikki Turner, pula memberitahu bahawa tindakan mengambil dos vaksin berlebihan bukan perkara yang selamat untuk dilakukan.

"Semestinya pengambilan vaksin melebihi dos yang disyorkan sangat tidak digalakkan.

"Namun, buat masa ini, kita tidak mempunyai bukti tentang kesan sampingan yang akan dialami oleh seseorang dengan jumlah vaksin berkenaan (10 dos)," jelasnya.

Terdahulu pada Oktober, pihak polis memberitahu bahawa mereka sedang meneliti laporan berhubung aktiviti mengambil vaksin dengan menggunakan identiti orang lain.

Jurucakap Kementerian Kesihatan pula berkata bahawa mengetatkan proses pengesahan maklumat diri untuk mendapatkan imunisasi boleh menjejaskan matlamat mereka untuk memvaksin seramai mungkin orang.

Katanya ia juga akan menghalang golongan berisiko tinggi untuk menerima vaksin.

Auckland, New Zealand, membuka semula pelbagai sektor perniagaan termasuk restoran dan kelab malam pada Disember selepas lebih tiga bulan terkurung akibat wabak varian delta Covid-19.

Bandar dan negara itu kini beroperasi di bawah sistem pasca vaksinasi di mana orang yang tidak divaksinasi sebahagian besarnya tidak dibenarkan mengunjungi tempat awam.

New Zealand menyasarkan 90 peratus penduduknya berumur 12 tahun dan ke atas menerima vaksin di negara itu.

Sehingga Disember, jumlah individu yang telah menerima vaksin di New Zealand telah mencapai 89 peratus meskipun terdapat beberapa daerah yang masih ketinggalan dan masih berada di bawah perintah berkurung (lockdown).— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

New Zealand, vaksin, covid-19, lelaki, 10 dos