Menetap di hotel, dua lagi dijangkiti varian Omicron


  • Benua
  • Sabtu, 11 Dis 2021

DUA pengembara dikesan mendapat jangkitan varian Omicron ketika menginap di hotel kuarantin Hong Kong. — Agensi

DUA pengembara yang mendapat vaksin lengkap dijangkiti varian Omicron ketika menginap di bilik berasingan di sebuah hotel kuarantin dekat Hong Kong.

Penularan strain Covid-19 yang sangat bermutasi itu sekali gus membimbangkan pihak berkuasa kesihatan.

Rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiada sesiapa yang meninggalkan bilik mereka mahupun mempunyai sebarang sentuhan.

"Pengesanan transmisi varian Omicron antara dua orang yang divaksin sepenuhnya di seluruh koridor hotel kuarantin telah menyerlahkan potensi kebimbangan ini," tulis penyelidik di Universiti Hong Kong dalam satu kajian jurnal Emerging Infectious Diseases, yang diterbitkan pada Jumaat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26 November 2021 mengklasifikasikan Varian Omicron (B.1.1.529) sebagai “varian yang perlu dibimbangi” (VOC) dan varian “berisiko sangat tinggi".

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan di Geneva, Switzerland pada bulan lepas bahawa pihaknya menjangka bilangan negara yang dilanda Omicron akan terus meningkat.

Setakat ini, varian Omicron sudah merebak sekurang-kurangnya ke 26 buah negara termasuk Malaysia dan Singapura.

Antara negara lain yang melaporkan penularan Omicron setakat ini termasuk Sepanyol, Kanada, United Kingdom, Austria, Belanda, Portugal, Brazil, Norway, Amerika Syarikat, Nigeria, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, Jerman, Israel, Beligium, Itali, Jepun, Korea Selatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Omicron, WHO, Hong Kong, pengembara, Covid-19