Punca nahas ngeri, pemandu dipenjara 110 tahun


  • Benua
  • Selasa, 14 Dis 2021

NAHAS itu berlaku di Interstate 70, Lakewood, Colorado, di barat Denver, Amerika Syarikat pada 2019. — Agensi

KEMATIAN empat individu dalam satu kemalangan ngeri di Amerika Syarikat pada 2019 mendapat pembelaan sewajarnya selepas seorang pemandu treler dijatuhi hukuman penjara 110 tahun pada Isnin.

Pemandu treler terbabit, Rogel Aguilera-Mederos yang didakwa menjadi punca kemalangan itu didapati bersalah atas lebih dua puluh pertuduhan termasuk menyebabkan kematian dan cuai ketika memandu.

Nahas itu berlaku di Interstate 70, Lakewood, Colorado, di barat Denver, Amerika Syarikat.

Aguilera-Mederos memberitahu penyiasat brek trak itu terputus dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak kejadian daripada berlaku.

Bagaimanapun, menerusi rakaman video kemalangan menunjukkan Aguilera-Mederos boleh menggunakan laluan treler untuk mengelak melanggar kenderaan lain, tetapi tidak melakukannya.

Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang iaitu Doyle Harrison, William Bailey, Miguel Angel Lamas Arellano dan Stanley Politano.

Hakim A. Bruce Jones berkata, di bawah undang-undang negeri, beliau perlu menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan dan atas faktor itu hakim mengenakan hukuman minimum bagi setiap pertuduhan.

Aguilera-Mederos memohon pengampunan sebelum hukuman dijatuhkan dan meminta maaf kepada keluarga mangsa kerana ia adalah kemalangan dan bukan disengajakan.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram