Kematian pertama angkara varian Omicron


  • Benua
  • Selasa, 14 Dis 2021

UKHSA pada Isnin mengesahkan 1,576 kes Omicron turut dilaporkan di Britain. — Reuters

SEKURANG-KURANGNYA seorang pesakit disahkan meninggal dunia akibat varian Omicron di Britain, kata Perdana Menteri, Boris Johnson pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika melawat klinik vaksin di Paddington, barat London.

"Omicron mengakibatkan kemasukan ke hospital dan malangnya sekurang-kurangnya seorang pesakit telah disahkan meninggal dunia dengan Omicron," katanya.

Sebelum itu, Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid berkata, terdapat 10 orang dirawat di hospital di England akibat varian Omicron dan memberi amaran bahawa kes, kemasukan ke hospital dan kematian dijangka meningkat.

Beliau juga memberi amaran bahawavarian Omicron "merebak pada kadar yang luar biasa" dan jangkitan terus meningkat dua kali ganda setiap dua hingga tiga hari.

Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) umur pesakit itu adalah antara 18 dan 85 tahun.

UKHSA pada Isnin mengesahkan 1,576 kes Omicron turut dilaporkan di Britain, peningkatan harian terbesar sejak varian Covid-19 dikesan di negara itu, menjadikan kes meningkat kepada 4,713.

Britain melaporkan 54,661 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 10,873,468, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada Isnin.

Negara itu juga melaporkan 38 lagi korban akibat Covid-19 menjadikan keseluruhan kematian berjumlah 146,477, dengan 7,372 pesakit masih di hospital.

Tahap amaran Covid UK telah dinaikkan daripada Tahap Tiga kepada Tahap Empat, tahap kedua tertinggi, "berdasarkan peningkatan ketara dalam kes Omicron", menurut empat pegawai perubatan dalam satu kenyataan bersama pada Ahad.

Terkini, lebih 89 peratus penduduk berumur 12 tahun ke atas telah mendapat dos pertama vaksin dan lebih 81 peratus sudah lengkap kedua-dua dos. Lebih 41 peratus lagi menerima suntikan dos penggalak. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

UK, Omicron, Covid-19, kematian, england, Boris Johnson