KJ, antara pemain mata wang kripto kerugian RM308,610


  • Benua
  • Ahad, 12 Dis 2021

FAEDAH sebanyak enam peratus setiap hari menjadi antara tarikan permainan Neko Inu. — Gambar hiasan/Agensi

KIRA-KIRA 20 laporan polis dibuat terhadap seorang warga Singapura berpangkat ketua pegawai pemasaran sebuah permainan atas talian yang menyebabkan para pemain kehilangan lebih 100,000 dollar Singapura (RM308,610) dalam bentuk mata wang kripto.

Permainan Neko Inu mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat mata wang kripto sejak dilancarkan awal tahun ini, membolehkan para pemain meraih USDT iaitu satu bentuk mata wang kripto.

Para pemain dikehendaki membeli haiwan peliharaan maya pertama mereka dalam USDT sebelum dibenarkan bermain.

Mereka perlu melaksanakan tugasan seperti memberikan makanan dan menjaga haiwan peliharaan tersebut setiap hari bagi meningkatkan nilai haiwan berkenaan.

"Apa yang menarik perhatian saya terhadap permainan itu adalah faedah sebanyak enam peratus yang saya boleh peroleh daripada haiwan peliharaan saya setiap hari. Haiwan itu boleh ditukar beli atau dijual untuk memperoleh USDT," ujar seorang pemain yang hanya dikenali sebagai KJ.

Tambahnya, sekiranya seseorang pemain memperkenalkan rakan-rakannya kepada permainan itu, mereka akan memperoleh insentif seperti skim Ponzi.

Bagaimananpun, masalah mula timbul selepas pembangun permainan itu menukar semua mata wang kripto USDT para pemain kepada mata wang Neko$.

Para pemain berang kerana Neko$ tidak disenaraikan di mana-mana bursa kripto, menyebabkan mereka tidak boleh mengeluarkan pendapatan atau aset.

"Pada pertengahan November, kami tidak dapat membuat sebarang pengeluaran. Syarikat tersebut berkata platform itu digodam dan pelayan terpaksa dimatikan kerana aliran trafik yang tinggi.

"Apabila pelayan kembali pulih beberapa hari lalu, kami terkejut apabila mendapati mata wang kripto kami sudah ditukar kepada Neko$," kata seorang lagi pemain dikenali sebagai Chen.

Chen kemudiannya memfailkan laporan polis bersama-sama mangsa lain. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram