Buli MRSM: Empat lagi pelajar ditahan, enam suspek dibebaskan


  • 112
  • Sabtu, 11 Dis 2021

TANGKAPAN terbaru menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 10 orang setakat ini. — Bernama

POLIS menahan empat lagi pelajar bagi membantu siasatan kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak seperti yang tular dalam media sosial pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, seorang pelajar berusia 15 tahun dan tiga orang berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar pada Sabtu.

Katanya, ia menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 10 orang setakat ini selepas enam pelajar ditahan pada Jumaat.

"Enam daripadanya dibebaskan petang ini manakala empat lagi akan dibebaskan esok selepas siasatan selesai," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular dalam media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember 2021 melibatkan seorang mangsa yang juga berusia 13 tahun.

Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar yang terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, tahan, buli, MRSM, pelajar