Rakyat India kembali berkumpul, rai musim perayaan


  • Benua
  • Khamis, 14 Okt 2021

WALAUPUN masih memakai pelitup muka, orang ramai masih tidak mempedulikan aspek penjarakan fizikal

BUAT pertama kalinya, India menyaksikan ramai penduduknya mula berani berkumpul secara beramai-ramai bagi meraikan festival keagamaan, enam bulan selepas negara itu dihimpit masalah kesihatan terbesar ekoran pandemik Covid-19.

Kebanyakan aktiviti mula kembali kepada normal dan India sudah pun selesai memberikan lebih satu bilion dos dengan sekurang-kurangnya 75 peratus daripadanya terima dos pertama.

Musim cuti di India membabitkan sambutan Durga Puja, Dussehra dan Diwali.

Polis trafik di West Bengal turut menggunakan pembesar suara bagi terus mengingatkan orang ramai yang berkumpul supaya mengekalkan penjarakan fizikal namun usaha itu seakan sia-sia.

“Ini adalah perayaan dan semua orang akan datang dan menikmatinya. Sekarang tidak ada sekatan dan kerajaan membenarkan kami untuk meraikannya,” kata Aradhana Gupta.

Seorang lagi pengunjung, Riya Tai meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak dapat meraikan perayaan tahun lalu kerana berdepan sekatan.

“Kali ini saya gembira walaupun terdapat ramai orang. Saya berpeluh hingga basah kuyup tetapi saya menikmatinya,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Narendra Modi memulakan kempen ‘Mission 100 days’ sambil ada kebimbangan musim perayaan kali ini akan melonjakkan semula kes Covid-19.

“Kami minta setiap negeri supaya lebih berhati-hati dalam tempoh 100 hari dan pastikan tingkah laku bersesuaian dengan suasana Covid-19,” menurut salah seorang pegawai kerajaan.

“Hanya dengan cara itu kita dapat menyelamatkan negara ini.” — Agensi

india, covid-19, perayaan