SEORANG lelaki di Miami, Florida, Amerika Syarikat ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menikam rakan sekerjanya sehingga mati selepas mangsa enggan berjanji temu dengannya baru-baru ini.
Suspek, Augstin Lucas Mariani, 20, berdepan tuduhan membunuh tahap kedua selepas disyaki membunuh Delfina Pan, 28, di Miami, Florida.
Mangsa dan suspek bekerja di restoran Kansas Bar dan Grill di Pantai Selatan.
Delfina yang berpindah dari Argentina ke Florida dua tahun lalu telah menolak cinta Mariani, lapor akhbar Miami Herald.
Menurut laporan polis Miami Beach, suspek dipercayai tiba di pangsapuri mangsa tanpa diundang dan menunggu mangsa.
Apabila Delfina pulang, Mariani meminta kebenaran untuk bercakap dengannya di dalam apartmennya, namun apabila enggan, Mariani bertindak membunuh mangsa, kata pihak berkuasa.
Polis berkata, Mariani bertindak menghunus pisau tanpa diprovokasi dan mula menikam mangsa.
Pisau itu turut dilaporkan hilang dari restoran Kansas Bar dan Grill, tempat Delfina dan Mariani bekerja.
Suspek kemudian menikam dadanya sendiri menyebabkan dirinya mengalami kecederaan tidak serius dan ditemui terbaring di atas Delfina di luar pangsapuri, menurut laporan.
Mereka dikejarkan ke hospital namun Delfina disahkan meninggal dunia sementara Mariani didakwa kerana melakukan pembunuhan.
Rakan sekerja memaklumkan kepada pihak polis bahawa Mariani sering meluahkan cintanya kepada Delfina, namun Delfina sentiasa menolaknya dengan lembut.
Menurut salah seorang rakan Delfina: “Mariani seorang budak lelaki yang sangat pelik, tiada siapa yang tahu apa-apa tentang hidupnya. Dia datang bekerja dan tidak bertegur sapa dengan sesiapa."
Polis mendapati bahawa apabila Delfina meninggalkan kerja awal Isnin lalu, Mariani juga menghilangkan diri sedangkan masih berada dalam tempoh syifnya, menurut laporan.
Suspek memohon haknya untuk berdiam diri, menurut Miami Herald.
Rakan-rakan Delfina memberitahu NBC6 bahawa impian Delfina ialah menjadi seorang pereka fesyen sebelum tinggal bersama rakan dari zaman kanak-kanaknya sejak 2019. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram