SEORANG doktor berjaya menyelesaikan masalah pernafasan seorang pesakit lelaki di New York, Amerika Syarikat selepas mendapati gigi tumbuh di dalam rongga hidungnya.
Gigi yang tumbuh di dalam rongga hidung pesakit itu telah menghalang pengaliran oksigennya yang mengakibatkan kesukaran bernafas berpanjangan.
Doktor lelaki berusia 38 tahun itu melaporkan penemuan yang jarang berlaku itu dalam kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, pada Khamis.
Terdahulu, pesakit lelaki itu telah melawat klinik telinga, hidung dan tekak di Hospital Mount Sinai di New York setelah menghadapi kesukaran bernafas melalui lubang hidung kanannya.
Menurut pesakit itu, dia menghadapi masalah kesukaran bernafas sejak beberapa tahun lalu.
Pemeriksaan fizikal mendedahkan terdapat gangguan dalam septumnya, rawan yang memisahkan dua lubang hidung - kata doktor dalam kajian itu.
Pemeriksaan juga menemukan lubang sepanjang dua sentimeter (cm) di belakang septum dan halangan berkalsifikasi.
Prosedur untuk memeriksa hidung, Rhinoskopi turut mengesan 'jisim putih yang keras, tidak lembut' di lubang hidung sebelah kanan.
Imbasan tomografi (CT) sinus paranasal, ruang yang dipenuhi udara yang mengelilingi rongga hidung menunjukkan 'jisim radiodens yang jelas dan konsisten dengan gigi ektopik terbalik' dalam rongga hidung kanan pesakit itu.
Gigi berukuran 14mm panjang itu berjaya dibuang melalui pembedahan. Kesukaran bernafas pesakit itu berakhir setelah pemeriksaan susulan tiga bulan selepas pembedahan dijalankan.
Gigi ektopik adalah gigi yang tidak mengikut laluan biasa semasa pembentukan dan kebiasaannya tumbuh di tempat yang tidak sepatutnya.
Gigi sedemikian boleh tumbuh atas beberapa sebab selain daripada menyimpang dari laluannya. Ada kalanya, gigi dewasa kekal boleh tumbuh semasa proses menggantikan gigi susu dan gigi susu boleh kekal dalam kedudukan yang janggal di dalam mulut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram