Kebersihan lidah juga perlu dijaga


  • Sihat
  • Jumaat, 29 Okt 2021

BAKTERIA yang terdapat di kawasan lidah boleh menyebabkan masalah gusi.

MEMBERUS gigi merupakan antara rutin yang paling penting dalam kehidupan seharian kita.

Doktor gigi menasihatkan orang ramai supaya membersihkan gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari bagi mengelakkan bakteria daripada terkumpul di dalam kawasan mulut.

Namun, mungkin ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa mereka melakukan satu kesilapan besar ketika memberus gigi.

Pakar pergigian dari syarikat penjagaan mulut MyMouth, Dr Sameet Hindocha berkata, selain daripada memberus gigi, kita juga wajib membersihkan lidah untuk penjagaan kawasan dalam mulut yang menyeluruh.

Ini, katanya, untuk mengelakkan masalah gusi daripada berlaku kerana bakteria juga boleh berada di kawasan lidah.

Jelasnya, penyakit gusi adalah masalah yang biasa berlaku dengan sekitar 45 hingga 50 peratus daripada orang dewasa di United Kingdom menderita masalah tersebut.

Penyebab terbesar penyakit gusi adalah penjagaan mulut yang tidak menyeluruh serta cara memberus gigi yang salah, kata Hindocha.

"Jika anda mempunyai penyakit gusi, anda perlu memberus lebih baik daripada orang lain untuk memastikan paras bakteria plak dalam mulut anda kekal serendah yang mungkin.

"Memandangkan beberapa bakteria yang menyumbang kepada penyakit gusi juga hidup di kawasan lidah, adalah penting untuk menjadikan ia (membersihkan lidah) sebagai rutin harian anda.

"Dengan membersihkan lidah, di samping memberus gigi seperti biasa, anda boleh menghapuskan bakteria berbahaya yang berpotensi menyebabkan anda diserang penyakit gusi," ujar beliau. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram