Mumia 'pelik' berusia 800 tahun ditemui bersama rangka babi


  • Benua
  • Rabu, 01 Dis 2021

MUMIA itu ditemukan di tempat pengebumian yang panjangnya kira-kira tiga meter dan pada kedalaman kira-kira 1.4 meter.—Agensi

SATU mumia yang dipercayai berusia antara 800 dan 1,200 tahun ditemui sekumpulan ahli arkeologi di Peru di tapak ekskavasi di pinggir ibu negara itu.

Mumia itu ditemui dalam keadaan diikat dengan tali di tapak penggalian yang terletak di Cajamarquilla, kira-kira 24 kilometer di timur Lima, Peru.

Ahli arkeologi, Pieter Van Dalen, yang mengetuai projek Cajamarquilla menyifatkan penemuan itu sebagai 'pelik dan unik'.

Menurutnya, mumia itu ditemukan di tempat pengebumian yang panjangnya kira-kira tiga meter dan pada kedalaman kira-kira 1.4 meter.

"Mumia itu mungkin dikebumikan di antara 800 dan 1200 Masihi. Ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun," katanya.

Sementara itu, kumpulan penyelidik di Universiti San Marcos berkata, pada satu sisi mumia itu, pakar menemui rangka babi guinea Andes yang kelihatan seperti anjing.

"Kesan jagung dan sayur-sayuran lain turut ditemui di tapak pengebumian itu," ujarnya.

Tambah Van Dalen lagi, Cajamarquilla adalah pusat bandar yang mungkin pernah didiami 10,000 hingga 20,000 penduduk satu masa dulu.

"Bandar ini dibina pada sekitar 200 Sebelum Masihi (SM) dan diduduki sehingga kira-kira 1500 Masihi," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mumia, peru, lima, pelik, Cajamarquilla