GOLONGAN jururawat di Eswatini enggan merawat anggota polis kerana mereka mendakwa pasukan keselamatan itu menembak rakan mereka ketika himpunan prodemokrasi pada Rabu lalu.
Demonstrasi di negara monarki terakhir di benua Afrika itu yang sebelum ini dikenali sebagai Swaziland, berlaku sejak Jun lalu.
Ekoran itu, kerajaan menutup sementara beberapa perkhidmatan Internet termasuk Facebook bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.
Kerajaan juga menafikan mengarahkan pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup bagi menghentikan tunjuk perasaan.
"Kita tidak menerima laporan kononnya jururawat ditembak," kata seorang jurucakap kerajaan yang enggan dikenali.
"Polis dikerah untuk mengekalkan keharmonian dan ketenteraman awam. Tiada berlakunya tembakan."
Pada Jumaat, jururawat mengadakan protes di tiga hospital.
Awal minggu ini, petugas kesihatan dan penjawat awam yang menghantar petisyen ke Parlimen, menuntut agar kerajaan berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat dengan lebih baik.
Kesatuan Jururawat Demokratik Swaziland berkata seramai 30 jururawat cedera akibat ditembak oleh tentera dan polis dalam kejadian itu.
Susulan insiden itu, kesatuan berkenaan meminta jaminan daripada kementerian kesihatan agar keselamatan jururawat terjamin sebelum boikot merawat anggota keselamatan ditamatkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram