WALAUPUN berdepan situasi ekonomi semakin memburuk ekoran sekatan antarabangsan dan pandemik Covid-19, Korea Utara masih meneruskan program pembangunan senjatanya.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), program nuklear dan peluru berpandu negara itu dilihat menunjukkan kemajuan yang pantas di bawah pimpinan Kim Jong Un meskipun Pyongyang kini berada di bawah pelbagai sekatan antarabangsa terhadapnya.
Laporan itu diterbitkan selepas Pyongyang mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa susulan beberapa siri ujian peluru berpandu dalam tempoh beberapa minggu sehingga menyebabkan Majlis Keselamatan PBB terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar.
Laporan yang diterbitkan secara atas talian itu pada Selasa, merangkumi tempoh 6 Februari hingga 3 Ogos, menyatakan Korea Utara meneruskan usaha untuk memantapkan program senjatanya.
"Walaupun negara itu memfokuskan kepada masalah ekonominya yang semakin teruk, Korea Utara terus mempertahankan dan mengembangkan program nuklear dan peluru berpandunya," kata laporan itu.
Laporan itu disediakan oleh panel pakar yang memantau sekatan terhadap negara terpencil itu.
Korea Utara atau secara rasmi dikenali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea meraikan ulang tahun ke-30 penyertaan ke PBB.
Pyongyang sehingga kini belum melancarkan ujian nuklear atau peluru berpandu merentasi benua sejak 2017.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, ujian menggabungkan teknologi balistik dan panduan tetap dilakukan, manakala aktiviti lain juga diadakan di tapak utama berkaitan dengan program nuklear.
Awal tahun lalu, negara itu menutup pintu sempadannya sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.
Namun pada masa sama, negara itu masih meneruskan usaha tidak sahnya mendapatkan komponen tertentu dari luar negara selain mencari peluang memindahkan produknya sendiri kepada sekutunya.
Perintah sekatan di Korea Utara secara dasarnya terus memberi impak kepada pergerakan orang ramai dan barangan sama ada secara sah atau tidak sah ke dalam dan luar negara.
Menurut laporan itu lagi, pengimportan produk pengguna termasuk barangan berharga yang dilarang mengikut sekatan PBB hampir dihentikan tetapi siasatan sedang dijalankan membabitkan pemindahan kenderaan mewah secara haram.
Jong Un dilihat menggunakan kenderaan jenis Lexus beberapa bulan ini dan laporan turut mendedahkan cubaan penghantaran melebihi nilai AS$1 juta (RM4.17 juta) kenderaan mewah didakwa dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Ningbo, China untuk dihantar ke negara itu.
Pyongyang dilihat mula menjauhkan diri dari rundingan nuklear sejak kegagalan sidang kemuncak kedua antara Jong Un dan Presiden AS ketika itu, Donald Trump di Hanoi, selain menolak usaha Korea Selatan untuk menghidupkan semula sesi dialog rundingan damai. — Agensi