Penyelidik kaji 4 jenis ganja berpotensi rawat kanser


  • Benua
  • Isnin, 29 Nov 2021

EMPAT spesies ganja itu mempunyai kandungan tetrahydrocannabinol (THC) and cannabidiol (CBD) yang tinggi. — Gambar hiasan/Agensi

SEKUMPULAN penyelidik Thailand mendapati empat spesies pokok ganja yang ditanam di negara itu boleh digunakan untuk merawat beberapa penyakit kanser menerusi satu kajian saintifik baru-baru ini.

Hasil daripada kajian Institut Penyelidikan Herba di Jabatan Sains Perubatan Thailand menunjukkan bahawa empat spesies ganja itu dijangka berkesan menghentikan pembentukan beberapa jenis sel kanser.

Ketua Pengarah jabatan itu, Dr Supphakit Siriluck, berkata empat spesies ganja itu mempunyai kandungan tetrahydrocannabinol (THC) and cannabidiol (CBD) yang tinggi.

"Beberapa uji kaji menunjukkan THC dan CBD yang dikumpul dari keempat-empat spesies ganja ini berkesan bagi menghentikan pelbagai jenis sel kanser.

"Ujian toksikologi juga mendapati ekstrak ganja tidak menyebabkan mutasi gen dalam bakteria, namun boleh menjadi toksik kepada sel buah pinggang, hati dan paru-paru," katanya kepada Nation Thailand.

Jelas Supphakit, penemuan itu sudah diterbitkan dalam jurnal perubatan jabatan berkenaan bagi mempromosikan kualiti perubatan menggunakan ganja Thailand.

"Jabatan ini akan meneruskan penyelidikan terhadap haiwan dan memasuki fasa ujian klinikal bagi memastikan sama ada ekstrak ganja selamat digunakan oleh pesakit kanser," katanya.

Ujian tersebut dilakukan terhadap beberapa organ yang dihasilkan dalam makmal, termasuk payudara, buah pinggang, paru-paru dan otak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram