PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan varian Covid-19 baharu sebagai membimbangkan dan menamakannya sebagai Omicron.
Menurut WHO, varian tersebut mempunyai sejumlah besar mutasi dan bukti awal menunjukkan peningkatan risiko jangkitan semula Covid-19.
Beberapa negara termasuk Malaysia memutuskan untuk melarang dan menyekat perjalanan dua hala dari selatan Afrika.
Para pelancong dari Afrika Selatan, Namibia, Zimbabwe, Botswana, Lesotho, Eswatini dan Mozambique dikenakan larangan oleh Malaysia bermula Sabtu.
WHO sebelum ini merujuk strain baharu Covid-19 berkenaan sebagai B.1.1.529, mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan.
Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi spike protein, iaitu dua (2) kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India.
Sejak penemuannya pada 9 November, ciri-ciri Omicron bertepatan dengan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di rantau ini.
Sementara itu, Ketua teknikal Covid-19 untuk program kecemasan kesihatan WHO, Maria Van Kerkhove berkata, varian terbabit mempunyai sifat berkenaan kerana bilangan besar mutasinya.
Van Kerkhove berkata, kajian untuk memahami ciri-ciri Omicron akan mengambil masa beberapa minggu bagi melihat sama ada terdapat sebarang perubahan dalam kesan terhadap diagnostik, terapeutik atau vaksin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram