Buka sempadan bakal bawa masuk pelabur asing


  • Bizz
  • Khamis, 25 Nov 2021

EKONOMI negara dijangka pulih pada tahun 2022, seiring dengan pertumbuhan yang sepadan dalam ekonomi global. — The Star

PEMBUKAAN sempadan untuk pengunjung antarabangsa yang dijangka pada 2022 akan memberikan kesan serta-merta ke atas pasaran hartanah dengan menarik pelabur luar negara dan penduduk tetap asing.

Perkara itu dimaklumkan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari yang turut memberitahu ia menandakan pemulihan secara keseluruhan selepas penutupan sempadan selama hampir dua tahun.

"Pembukaan sempadan ini akan merancakkan ekonomi negara yang bakal kembali kepada situasi normal selain meningkatkan lagi peluang pekerjaan.

"Melangkah maju, kami mengunjurkan pasaran kediaman mencatatkan pengukuhan, kesan daripada pemulihan yang berlaku dalam ekonomi meluas. Kita akan menyaksikan jumlah transaksi meningkat terlebih dahulu dan kemudian mendorong peningkatan harga dari semasa ke semasa,” katanya

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, pada tahun 2020 dan 2021, pelaburan rentas sempadan ke dalam sektor hartanah Malaysia mengalami penyusutan ketara seperti yang dijangkakan.

Jelasnya, beliau menjangkakan permintaan kediaman rentas sempadan akan meningkat sepanjang 2022, dan mungkin mencecah paras yang dicatatkan pada 2019 pada 2024 atau 2025.

"Walaupun begitu, permintaan akan jauh lebih tinggi daripada status quo semasa. Ini akan menjadi kelegaan bagi pemaju dan penjual yang sedang berada dalam pasaran.

"Pembeli dari Singapura dijangka menjadi yang pertama untuk kembali, diikuti mereka dari negara lain yang secara tradisinya memainkan peranan dalam pasaran perumahan mewah Malaysia,” ujarnya.

Mengulas tentang prospek ekonomi, Kashif berkata kadar pantas vaksinasi dan rawatan baharu Covid mendorong penambahbaikan prospek,.

Hurainya, ia dijangka membawa kepada lonjakan dalam perbelanjaan isi rumah dan keinginan untuk menggunakan pada 2022.

"Semua keadaan yang sama juga berkemungkinan meningkatkan permintaan hartanah dan pembentukan isi rumah baharu.

"Ekonomi dijangka pulih pada tahun 2022, seiring dengan pertumbuhan yang sepadan dalam ekonomi global," jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan sedang melaksanakan rangsangan ekonomi dan fiskal, justeru, Juwai IQI menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 6.0 peratus tahun depan.

Kongsinya lagi, nilai eksport pada 65 peratus daripada KDNK, adalah amat ketara sehinggakan penambahbaikan ke atas prospek global dan penyelesaian rantaian bekalan antarabangsa akan memberi kesan positif di Malaysia.

"Pekerjaan dan pendapatan isi rumah adalah faktor langsung kepada permintaan perumahan. Pada 2022 kami menjangkakan pembukaan semula ekonomi dan rangsangan kerajaan akan memacu kenaikan kedua-duanya. Ahli ekonomi UOB juga menjangkakan pengangguran menurun sebanyak enam mata asas kepada 3.6 peratus pada 2022.

‘Ringkasnya, unjuran kami adalah bagi pemulihan ekonomi yang semakin positif dan prospek lebih kukuh tahun hadapan,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram