Ilustrasi Nabi Muhammad SAW di buku teks sekolah cetus kemarahan


  • Benua
  • Sabtu, 27 Nov 2021

ORANG ramai di bandar Al-Bab mengadakan bantahan terhadap buku teks tersebut.
BUKU teks sekolah yang mencetuskan kemarahan orang awam di Syria kerana penggunaan ilustrasi yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW telah ditarik balik daripada terus digunakan.

Keputusan itu dilakukan oleh pihak berkuasa di sebuah wilayah utara Syria yang dikawal Turki.

Salah satu imej dalam buku keluaran Kementerian Pendidikan Turki itu menunjukkan seorang lelaki berjanggut memakai baju sejuk berwarna merah jambu dan seluar berwarna burgundy sedang menjemput anak perempuannya turun dari sebuah bas sekolah.

Tajuk pada imej tersebut menulis 'Nabi menjemput anak perempuannya, Fatimah.'

Pegawai pendidikan tempatan, Jumaa Kazkaz berkata, keputusan untuk menarik balik buku itu dari beberapa sekolah di kawasan utara Syria yang dikawal Ankara, dibuat hasil rundingan dengan pegawai Turki.

Kawasan terbabit meliputi bandar Al-Bab yang mana penduduk memberi amaran melakukan protes dan bandar Jarablus yang penduduknya bertindak membakar buku berkenaan.

"Sudah diputuskan bahawa ada isu tidak boleh diterima dari segi pendidikan agama, dalam kandungan buku pendidikan agama itu," katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Gabenor Gaziatep dalam satu kenyataan berkata, insiden berkenaan sedang disiasat dari pelbagai perspektif walau syarikat penerbitan tersebut memohon maaf dengan menyatakan terdapat kesilapan dan kesalahan dalam kandungan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram