KAUM wanita dan kanak-kanak telah mengalami penderitaan teruk akibat cuaca sejuk dan kurang penjagaan kebersihan diri di sempadan Belarus-Poland dalam perjalanan mereka ke Eropah.
Kira-kira 2,000 orang, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak, terperangkap di titik sempadan Bruzgi di Grodno, Belarus.
Menurut pihak berkuasa Belarus, kira-kira 500 kanak-kanak ditempatkan di kem pelarian dan setakat ini tiada organisasi antarabangsa yang menyokong atau memberi bantuan kepada mereka.
Sebahagian besar bantuan diagihkan menerusi usaha rakyat, tentera dan kerajaan Belarus.
Menurut pegawai Belarus, sebanyak €700,000 (RM3.3 juta) diperuntukkan oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi pelarian yang masih belum dihantar pulang.
Sementara itu, seorang wanita Iraq, Suleymaniyeli Gesav Rostem yang tiba di sempadan bersama suami dan tiga anaknya berkata, mereka tidak mempunyai makanan yang cukup untuk diberi kepada anak-anak mereka.
"Saya mahu tinggalkan tempat ini. Sudah 20 hari kami tidak mandi dan kami hanya ada sedikit pakaian. Anak saya juga bergaduh dengan kanak-kanak lain di sempadan," katanya.
Pada masa sama, Aysan Nuri dari Kirkuk berkata, dia pergi ke sempadan bersama suami dan dua anaknya kerana kehidupan di Iraq tidak baik.
Aysan menyifatkan sistem pendidikan di Iraq adalah menakutkan dan keadaan itu adalah sukar kerana anak-anaknya tidak dapat belajar akibat sekolah yang tidak berkualiti.
"Saya datang ke sini untuk anak-anak saya, bukan untuk diri saya sendiri," katanya.
"Saya terpaksa membawa anak saya mandi di luar kawasan sejuk ini. Saya tidak boleh membasuh pakaiannya. Jika anak saya lapar, saya perlu menunggu sehingga makanan tiba. Makanan datang sekali sehari, " kata seorang lagi ibu warga Iraq bernama Ziryan.
Krisis pelarian di sempadan
EU dan Amerika Syarikat (AS) menuduh Belarus mencetuskan krisis pelarian sebagai tindak balas terhadap sekatan EU terhadap Presiden Alexander Lukashenko, yang menjatuhkan pembangkang serta media bebas selama tiga dekad kekuasaannya.
Lukashenko memberitahu BBC bahawa kemungkinan pengawal sempadannya membantu pelarian menyeberang, namun menafikan mereka dibawa ke Belarus dan menggesa EU menerima migran berkenaan.
Belarus menganggarkan kira-kira 7,000 pelarian berada di negara itu.
Pihak berkuasa Poland mengumumkan bahawa, mereka tidak akan membenarkan pelarian memasuki negara itu dan akan menghantar semula mereka yang berjaya masuk untuk kembali ke Belarus.
Belarus menuduh Poland tidak memberikan layanan yang berperikemanusiaan kepada orang yang ingin berhijrah ke Eropah, manakala pentadbiran Poland menuduh Belarus menggunakan pelarian itu sebagai alat politik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram