PFIZER dan BioNTech berkata vaksin keluaran mereka berkesan 100 peratus untuk remaja yang berumur 12 hingga 15 tahun selepas empat bulan dos kedua.
Menurut syarikat itu dengan data baharu yang melibatkan seramai 2,228 peserta, percubaan itu akan dapat membantu bagi permohonan mereka untuk mendapatkan kelulusan penuh di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.
Katanya, tiada masalah serius yang diperhatikan pada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan susulan selepas dos kedua.
"Memandangkan komuniti kesihatan global berusaha untuk meningkatkan bilangan orang yang divaksin di seluruh dunia, data tambahan ini bantu dalam berikan keyakinan lanjut terhadap profil keselamatan dan keberkesanan vaksin kami dalam kalangan remaja," kata ketua pegawai eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, syarikat itu berharap untuk berkongsi data ini dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dan pengawal selia lain bagi meningkatkan kadar pengambilan vaksin di beberapa wilayah yang kadar Covid-19 semakin meningkat dalam kumpulan umur itu.
Pada Mei lalu, kerajaan AS memberi kelulusan penggunaan kecemasan vaksin untuk remaja dan syarikat itu berancang untuk mendapatkan kelulusan penuh.
Penggunaan vaksin pada masa ini hanya diluluskan sepenuhnya pada orang berumur 16 tahun ke atas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram