Jemaah warga asing usia 18 hingga 50 tahun layak mohon permit umrah


  • Benua
  • Isnin, 22 Nov 2021

ARAB Saudi melonggarkan sekatan bagi mengawal pandemik Covid-19 pada bulan lalu.

JEMAAH warga asing yang berumur antara 18 hingga 50 tahun dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan permit bagi umrah ataupun tujuan lain.

Menurut agensi yang memetik kenyataan Kementerian Umrah dan Haji, setiap jemaah warga asing diwajibkan mengambil suntikan lengkap vaksin Covid-19 yang diiktiraf Arab Saudi.

"Golongan tersebut perlu kemukakan sijil vaksinasi yang disahkan secara rasmi untuk mendapatkan visa kemasukan elektronik melalui aplikasi kesihatan Eatmarna dan Tawakkalna di laman sesawang Kementerian Luar Arab Saudi," tambah kementerian itu.

Sebelum ini, aplikasi tersebut dilancarkan bagi memudahkan prosedur untuk para jemaah umrah luar negara mendapatkan permit menunaikan ibadah di Masjidil Haram, Makkah dan solat di Masjid Nabawi dan Madinah.

"Jemaah tempatan juga gunakan prosedur yang sama iaitu perlu mendapatkan permit selain diminta mengelak daripada membawa kanak-kanak ke Masjidil Haram," kata kementerian itu.

Ekoran daripada rekod yang menunjukkan penurunan mendadak dari segi kadar jangkitan, Arab Saudi melonggarkan sekatan bagi mengawal pandemik Covid-19 pada bulan lalu.

Kelonggaran sekatan itu termasuk menamatkan penjarakan fizikal bagi jemaah di dua masjid suci di Makkah dan Madinah yang mana membolehkan jemaah beribadat dengan kapasiti penuh.

Namun, jemaah masih diwajibkan memakai pelitup muka di kedua-dua masjdi berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Umrah, warga asing, permit, arab saudi, Makkah, Madinah