Ratusan pekerja Google tandatangani manifesto bantah vaksinasi mandatori Covid-19


  • Benua
  • Rabu, 24 Nov 2021

PEKERJA Google akan kembali bekerja di pejabat untuk tiga hari seminggu bermula pada 10 Januari 2022.— Agensi

LEBIH kurang 600 pekerja Google menandatangani manifesto meminta majikan mereka menarik balik arahan mewajibkan vaksinasi Covid-19 sebelum pekerja kembali ke pejabat, lapor Sputnik.

Pada 4 November, pentadbiran Biden berkata, syarikat yang mempunyai lebih 100 pekerja harus memastikan setiap pekerja sudah lengkap divaksin atau negatif ujian Covid-19 pada setiap minggu.

Sebagai respons kepada arahan itu, Google meminta lebih 150,000 pekerjanya untuk memuat naik status vaksinasi mereka di portal syarikat pada awal Disember.

Syarikat itu juga menyatakan pekerjanya yang mempunyai tugasan dengan pihak kerajaan perlu mendapatkan vaksin walaupun tidak datang ke pejabat.

Manifesto yang ditandatangani itu menggesa ketua syarikat untuk mengemukakan arahan baharu berhubung vaksin, merangkumi semua pekerja Google," lapor CNBC.

Manifesto itu juga meminta pekerja untuk "menentang arahan vaksinasi itu sebagai prinsip" dan menekankan bahawa arahan itu tidak boleh mengubah keputusan mereka untuk tidak mendapatkan vaksin Covid-19.

Namun, Google mengekalkan pendiriannya dalam respons kepada bantahan itu.

"Seperti yang telah kami nyatakan kepada semua pekerja dan pengarang dokumen ini, keperluan vaksinasi kami adalah satu yang penting untuk memastikan keselamatan petugas dan perkhidmatan kami terus lancar. Kami bertegas dengan dasar vaksinasi ini," kata jurucakap Google dipetik oleh CNBC.

Pekerja Google akan kembali bekerja di pejabat untuk tiga hari seminggu bermula pada 10 Januari 2022.

Mandat vaksin Presiden Joe Biden menghadapi tindakan undang-undang di beberapa negeri yang mendakwa Presiden melampaui kuasanya kerana Perlembagaan AS memerlukan kelulusan Kongres untuk langkah sedemikian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

AS, Google, manifesto, wajib vaksin, COVID-19