Lelaki 45 tahun 'hidup semula' semalaman disimpan di bilik mayat


  • Benua
  • Isnin, 22 Nov 2021

SIASATAN masih dijalankan susulan kesilapan membabitkan pengesahan kematian dilakukan oleh doktor yang bertugas. — Agensi

SEORANG lelaki di India yang diisytiharkan mati akibat kemalangan jalan raya mengejutkan saudara-maranya apabila didapati masih bernafas walaupun semalaman disimpan dalam peti sejuk bilik mayat hospital.

Srikesh Kumar dikejarkan ke klinik dalam keadaan kritikal selepas dilanggar sebuah motosikal di Moradabad, timur ibu negara New Delhi.

Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta dan sebaik tiba, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Menurut pegawai perubatan, Rajendra Kumar, pada Jumaat lalu Srikesh dibawa ke hospital kerajaan untuk proses bedah siasat namun tidak ada sebarang tanda menunjukkan pemuda itu masih hidup.

"Apabila sepasukan polis dan keluarganya datang untuk melengkapkan proses dokumentasi berhubung bedah siasat itu, dia didapati masih hidup. Ini sudah tentu satu keajaiban yang besar," katanya.

Rajendra turut memberitahu, lelaki berusia 45 tahun itu sedang menjalani rawatan lanjut dan masih dalam keadaan koma.

Sementara itu, siasatan sedang dijalankan susulan kesilapan membabitkan pengesahan kematian dilakukan oleh doktor yang bertugas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bilik mayat, India, kemalangan, Srikesh Kumar