Pakej umrah kini boleh ditempah menerusi M2U


  • Bizz
  • Jumaat, 19 Nov 2021

PELANGGAN boleh menyesuaikan urusan perjalanan umrah dengan memilih tarikh perjalanan, penerbangan dan tempat penginapan mengikut pilihan mereka. — Gambar hiasan/Agensi

PELANGGAN Maybank kini boleh menempah pakej umrah dengan lebih lancar dan mudah melalui laman perbankan dalam talian Maybank2u (M2U) berkuat kuasa pada Jumaat.

Platform yang disediakan oleh Maybank Islamic Bhd itu boleh digunakan oleh pelanggan kad kredit Premium Maybank dan Maybank Islamic.

Menurut Ketua Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah dan Pembangunan Perniagaan Maybank Islamic, Ahmad Shareza Abdul Rahman, pelanggan boleh menyesuaikan urusan perjalanan umrah dengan memilih tarikh perjalanan, penerbangan dan tempat penginapan mengikut pilihan mereka.

"Perkhidmatan ini juga tidak terhad kepada pakej tetap agensi pelancongan.

"Tawaran pakej Premium yang unik ini diwujudkan melalui kerjasama Maybank Islamic dengan agensi pelancongan Rayhar Travels Sdn Bhd," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, Rayhar Travels merupakan syarikat pengendali haji dan umrah dengan jumlah jemaah persendirian tertinggi di Malaysia.

Beliau turut memberitahu, platform berkenaan juga merupakan penyelesaian digital kepada pemegang kad kredit Premium dengan memudahkan mereka mendaftarkan perjalanan umrah serta boleh diakses di mana sahaja mengikut keselesaan.

"Proses penempahan pakej umrah di M2U akan dipautkan terus ke platform dalam talian Rayhar Travels yang telah direka khusus untuk pelanggan bank.

"Melalui platform dalam talian Rayhar, pelanggan boleh menyesuaikan keperluan pakej umrah mengikut keutamaan bakal jemaah selain boleh menebus Treats Points Maybank untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos perjalanan umrah mereka,” ujarnya.

Sejak 18 Oktober 2021, kerajaan Malaysia telah melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa untuk rakyat Malaysia.

Arab Saudi merupakan salah satu destinasi antarabangsa yang paling digemari pengembara Muslim.

"Dengan keistimewaan eksklusif ini, kami berharap tawaran pakej Premium kami bersama Rayhar Travels ini akan memenuhi keperluan para pelanggan yang mungkin lebih mementingkan fleksibiliti dan pengalaman Umrah mengikut pilihan masing-masing.

"Untuk maklumat lanjut, pelanggan Maybank Islamic boleh menghubungi Pengurus Perhubungan masing-masing atau layari laman web atau aplikasi Maybank2u," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram