Seorang maut, tiga cedera ditembak di Baitulmaqdis


  • Benua
  • Ahad, 21 Nov 2021

PIHAK berkuasa membawa mayat keluar dalam insiden tembakan yang menyebabkan seorang terkorban di Baitulmaqdis. — AFP
SEORANG maut manakala tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melakukan serangan di Kota Lama, Baitulmaqdis pada Ahad.

Suspek yang melakukan serangan itu turut dilaporkan maut ketika pihak berkuasa melakukan kawalan.

Seorang daripada mangsa yang berusia 30 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, kata sumber perubatan tanpa memberikan penjelasan lanjut.

"Seorang pengganas menggunakan senjata jenis Carlo (senapang ringan) melepaskan tembakan di Kota Lama," kata polis dalam satu kenyataan.

Kota Lama yang terletak di bahagian timur Baitulmaqdis adalah sebahagian daripada Israel, namun Palestin mendakwa ia sebagai ibu kota negara masa depan mereka.

Serangan yang menyasarkan pasukan keselamatan Israel itu adalah kes yang biasa berlaku di Kota Lama.

Pada Rabu lalu, pasukan keselamatan Israel menembak mati seorang penyerang remaja yang menikam dan mencederakan dua pegawai polis di Kota Lama.

Pada penghujung September, seorang wanita ditembak mati selepas cuba menikam pegawai di jalan yang menghala ke Masjid Al-Aqsa.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur dalam Perang Enam Hari 1967 dan kemudian mengambil langkah menuntutnya sebagai milik sendiri.

Bagaimanapun, langkah itu tidak diiktiraf oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Benua, Baitulmaqdis, Maut, Serangan