Kanak-kanak seawal tiga tahun bakal divaksin selang 28 hari


  • Benua
  • Sabtu, 20 Nov 2021

HONG Kong akan memberi akses vaksinasi kepada kanak-kanak berusia seawal tiga tahun. — Agensi

KANAK-KANAK seawal usia tiga tahun di Hong Kong akan mendapat akses kepada suntikan coronavirus Sinovac buatan China, dengan keutamaan diberi kepada mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun.

Perkara itu diumumkan ketika mesyuarat jawatankuasa saintifik bersama Pusat Perlindungan Kesihatan pada Jumaat, selepas panel penasihat berkaitan vaksin Covid-19 pada awal minggu ini mengesahkan untuk menurunkan had minimum umur kanak-kanak kepada tiga tahun.

Pengerusi jawatankuasa saintifik, Profesor Lau Yu-Lung berkata, kajian data menunjukkan bahawa vaksin adalah selamat bagi golongan lebih muda tanpa tanda-tanda membimbangkan.

"Tindakan ini mampu melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19, selain membolehkan mereka menyambung semula sesi persekolahan dan kehidupan harian seperti biasa dengan secepat mungkin," katanya.

Beliau menambah, setiausaha kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun, manakala pemberian vaksin kepada golongan lebih muda akan dilaksanakan pada peringkat lain.

Sebelum ini, umur minimum bagi suntikan vaksin Sinovac di Hong Kong adalah 18 tahun.

Seperti orang dewasa, kanak-kanak disyorkan untuk menerima dua dos vaksin selang 28 hari, dengan kemungkinan suntikan ketiga diberi enam bulan selepas suntikan kedua. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Hong Kong, vaksin, Covid-19, kanak-kanak