Bayi ditemui semula 36 jam setelah hilang bersama kereta ibunya


  • Benua
  • Isnin, 15 Nov 2021

POLIS Georgia sedang giat mengesan suspek yang dipercayai masih bebas selepas melarikan Blaise (gambar). — Agensi

BAYI berumur setahun akhirnya kembali disatukan bersama ibunya selepas hilang selama lebih 36 jam di Georgia, Amerika Syarikat pada Rabu minggu lepas.

Bayi tersebut dilaporkan hilang ketika kereta ibunya, Deonna Bray dicuri di Clarkston, Georgia.

Bray memberitahu pihak berkuasa bahawa seorang suspek membawa keretanya yang tidak berkunci pada masa itu sebelum memandu pergi bersama bayinya, Blaise.

Kejadian ini berlaku di tempat letak kenderaan yang mana pada ketika itu ibu bapa Blaise sedang memunggah barangan runcit ke dalam apartmen mereka.

Kes ini mendapat liputan meluas pihak media dan seorang wanita kemudiannya menghubungi pihak polis dan mendakwa menjumpai kereta tersebut bersama bayi terbabit yang ditinggalkan di dalamnya, sebelum membawa masuk bayi itu ke rumah sehari kemudian.

Susulan laporan kejadian itu, pihak polis menemui kereta Ford Explorer 2002 milik Bray dan berjaya mengenal pasti bahawa kenderaan tersebut telah dicuri.

Kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis Georgia dan suspek dipercayai masih bebas.

Blaise dibawa ke hospital untuk penilaian perubatan sebelum disahkan sihat lalu dibawa pulang ke rumahnya bersama ibu bapanya, lapor agensi media tempatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bayi, kereta, hilang, ibu, blaise, deonna bray, georgia,