Penyerang masjid Christchurch dakwa dipaksa mengaku bersalah


  • Benua
  • Isnin, 08 Nov 2021

TARRANT dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol selepas mengaku bersalah pada Mac 2020. — AP

LELAKI warga Australia yang terbabit dalam insiden tembakan dan pembunuhan 51 jemaah di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand akan merayu sabitannya kerana merasakan dia dipaksa untuk mengaku bersalah.

Brenton Tarrant, baru-baru ini memberi peguamnya, Tony Ellis, huraian sepanjang 15 muka surat tentang dakwaan penganiayaan yang dialaminya semasa dalam tahanan, menurut satu laporan.

Ellis menggariskan dakwaan yang dibuat Tarrant itu dalam satu memorandum yang dihantar kepada ketua koroner, Hakim Deborah Marshall, minggu lalu,

"(Tarrant) berkata dia tertakluk kepada layanan yang tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan martabatnya semasa dalam reman, yang menghalang perbicaraan yang adil," tulis Eillis dalam memo itu.

Peguam itu berkata, semua rakyat New Zealand berhak untuk dilayan secara adil dengan bermaruah dan dihormati mengikut undang-undang negara.

Hakim berkata, Tarrant dialu-alukan untuk bercakap tentang isu itu pada perbicaraan berasingan bulan depan berkaitan dengan siasatan yang dilakukan.

Tarrant dipenjarakan seumur hidup tanpa parol selepas mengaku bersalah pada Mac 2020 atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan terlibat dalam perbuatan pengganas.

Dia merupakan orang pertama yang dijatuhi hukuman tersebut di New Zealand yang tidak mempunyai hukuman mati. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram