Rakyat Malaysia di Thailand ganding bahu hulur bantuan kepada golongan kurang bernasib baik


  • Benua
  • Ahad, 07 Nov 2021

JOJIE memuji Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) dan Kelab Malaysia Thailand (KMT) atas aktiviti amal yang dilaksanakan masing-masing sepanjang pandemik melanda. — Agensi

RAKYAT Malaysia di Bangkok, Thailand turut sama menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia dengan berganding bahu menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, diaspora Malaysia di Thailand bersatu padu dan saling membantu antara satu sama lain walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran disebabkan pandemik.

Beliau memuji Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) dan Kelab Malaysia Thailand (KMT) atas aktiviti amal yang dilaksanakan masing-masing sepanjang pandemik melanda.

"Kami tetap rindukan ahli keluarga yang kami tidak dapat jumpa sejak dua tahun lepas tetapi kami berasa lega kerana kami tidak keseorangan di sini.

"Kami ada Keluarga Malaysia yang terdiri daripada komuniti Malaysia di Bangkok. Tidak lupa, anda juga ada Kedutaan Malaysia yang sentiasa bersedia untuk membantu sedaya upaya kami,” katanya pada ‘Deepavali Night 2021’ anjuran Malaysians In Bangkok (MIB)-Hands that Serve di sini, pada Sabtu.

MIB ialah kumpulan amal tidak rasmi, ditubuhkan sekumpulan rakyat Malaysia untuk membantu golongan memerlukan dan rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand, di samping bekerjasama dengan pelbagai kumpulan amal di Malaysia dan Thailand.

"Saya berbangga dengan rakyat Malaysia di Bangkok yang bersatu padu dan membantu golongan kurang bernasib baik dan mereka yang paling teruk terjejas akibat pandemik.

"Selain membantu rakyat Malaysia, bantuan turut dihulurkan kepada warga Thailand dan pelarian,” katanya.

MIB berjaya mengumpul dana berjumlah 100,000 baht pada sambutan itu.

Selain itu, MIB turut menyampaikan anugerah kepada pertubuhan amal, Yayasan iCare Thailand dan Yayasan Bantuan Komuniti Bangkok sebagai menghargai usaha serta dedikasi mereka dalam membantu komuniti kurang bernasib baik di Thailand.

Turut menerima penghargaan termasuk Setiausaha Agung Persatuan India Thailand, Papni Thakur dan Pengerusi MTCC Dr Hwee Khim Boo dan warga Singapura, Frenza Hong yang membantu rakyat Malaysia mendapatkan vaksin Covid-19 di Thailand. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram