Perompak larikan selori kondom bernilai hampir RM300,000


  • Benua
  • Ahad, 07 Nov 2021

JUMLAH individu yang terlibat dalam rompakan itu masih belum dapat dikenalpasti. — Gambar hiasan/Agensi

SEKUMPULAN perompak melarikan sebuah lori yang mengandungi bekalan kondom bernilai kira-kira AS$72,000 (RM299,531), kata polis Kanada.

Kejadian berlaku pada jam 5.30 pagi di tempat letak kereta di bandar Zorra, berdekatan dengan Ontario, Kanada pada Jumaat, memetik laporan CBC News.

Anggota polis Ontario dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan mendapati lori berkenaan serta sebuah karavan hilang dari premis itu.

Selain itu, beberapa kenderaan lain didapati telah dipecah masuk.

Siasatan awal mendapati perompak berkenaan memasuki kawasan tersebut melalui pagar yang telah dirosakkan.

Namun tidak dapat dipastikan jika perompak itu mencuri lori terbabit kerana isi kandungannya atau sebaliknya.

Jumlah individu yang terlibat juga tidak dapat dipastikan lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram