Tukang gunting maut, kereta dipandu terputus dua


  • 112
  • Isnin, 18 Okt 2021

KERETA dipandu mangsa terputus dua selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 28 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur malam tadi. — Sinar Harian

SEORANG tukang gunting rambut meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 28 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Dalam insiden pada jam 10 malam itu, kereta jenis Proton Wira dinaiki mangsa, Mohamad Zulkhairin Syazwan Abdullah, 22, terputus dua selepas bertembung dengan dirempuh Volkswagen Golf dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan.

Ramli berkata, semasa kejadian, kereta dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari Bestari Jaya menuju ke Sungai Buloh bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira di laluan sama.

"Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan konkrit di sebelah kanan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh Volkswagen Golf.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa terputus dua dan berpusing 50 meter dari tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Sinar Harian